PAKA - Hasrat dua sahabat yang juga rakan sekolej menghabiskan masa cuti
sempena sambutan Aidiladha di kampung halaman tidak kesampaian apabila
keduanya maut dalam kemalangan, dekat sini, petang kelmarin.
Kemalangan kira-kira jam 5.30 petang di Kilometer 25 Jalan Paka-Al
Mukhtafi Billah Shah itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira
dinaiki Hasmadi Zainordin, 30, dan rakannya Mohd Rizairie Mohd Rizan,
23, terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah
bertentangan.
Ketika kejadian, dua sahabat itu yang merupakan penuntut jurusan
keselamatan di Institut Marin dan Latihan Ronaco Kemaman dalam
perjalanan pulang ke Kelantan.
Hasmadi yang tersepit di tempat duduk pemandu dilaporkan cedera parah
dan maut di tempat kejadian, manakala Rizairie meninggal dunia ketika
dalam perjalanan ke Hospital Dungun.
Rakan mangsa, Maisurah Nor, 19, berkata, sebelum kejadian, dua rakan
kolejnya itu sempat menikmati sarapan pagi di sebuah warung makan
berdekatan kolej mereka.
Katanya, Allahyarham ketika itu banyak berdiam diri dan hanya
melemparkan senyuman ketika rakan-rakan lain sedang asyik berbual.
''Tak sangka kedua-dua mereka akan menemui ajal, baru pagi tadi (kelmarin) kami bersama," katanya.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika
mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik
Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.
Jenazah Hasmadi kemudian dibawa pulang ke kampungnya di Jelawat,
Bachok, Kelantan, manakala jenazah Ruzairie dibawa pulang ke Machang,
Kelantan.
Pemandu Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan itu, Mohd Khairul
Anuar Alias, 19, hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar
di Hospital Dungun.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment