JIKA diperhatikan, senarai artis yang mendirikan rumah tangga pada tahun ini tidak semeriah dan serancak seperti tahun lepas.
Tirai perkahwinan selebriti pada tahun ini telah dibuka oleh penyanyi
dan pelakon Liyana Jasmay, 25, dan suaminya, Fathuddin Mazlan, 28, yang
melangsungkan perkahwinan pada 2 Februari lalu.
LIYANA JASMAY DAN FATHUDDIN MAZLAN
Dengan dua kali lafaz, pasangan ini telah selamat diijabkabulkan oleh
bapa Liyana iaitu Datuk Jasmay Md Shah dengan disaksikan oleh Pendaftar
Perkahwinan dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Sahirman Ahmad.
Pengantin perempuan menerima seutas gelang emas bernilai RM5,500 sebagai mas kahwin sementara wang hantaran sebanyak RM28,388.
Dalam pada itu, pihak perempuan menerima lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang.
Selain wang hantaran, antara barangan lain yang diberikan Fathuddin
kepada Liyana termasuklah sirih junjung dan bunga rampai, tas tangan dan
set barangan kemas.
Manakala Liyana membalas hantaran berupa kasut Prada, dompet, jam tangan Tag Heuer, manisan, tepak sirih dan juga cincin.
Fathuddin merupakan ahli perniagaan yang juga merupakan jiran Liyana di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Kisah perkahwinan mereka juga pernah dilatari dengan cerita kurang
enak apabila gambar pra perkahwinan pasangan itu dikatakan keterlaluan
apabila bergambar mesra walaupun masih belum bergelar suami isteri yang
sah.
Namun, ternyata perkara itu tidak menjadi kudis buat mereka dan kini
mereka bersama-sama mengusahakan sebuah restoran yang terletak di Kota
Kinabalu, Sabah.
Sehingga kini, Liyana yang masih aktif dalam bidang seni tidak
menunjukkan sebarang tanda dirinya kini sedang hamil, berbadan dua.
IZZUE ISLAM DAN AWIN WAHARUDIN
Mengabadikan ulang tahun kelahirannya yang ke 23, pelakon dan anggota
kumpulan Forteen, Izzue Islam atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul
Islam Mazlan telah sepakat mendirikan rumah tangga dengan kekasih
hatinya, Nurinafilah Waharudin, 31, atau Awin pada 2 Jun lalu.
Dengan sekali lafaz, mereka sah bergelar suami isteri dan pasangan
itu telah dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit di
Dewan Shah Alam.
Pada majlis serba sederhana itu, pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang.
Pasangan sama cantik sama padan itu sebelum ini telah mengikat tali
pertunangan dalam sebuah majlis tertutup pada 1 Jun 2012 yang hanya
dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Perkenalan mereka bermula sejak 2008 dan Awin kini berkhidmat sebagai
pengurus peribadi yang merencana segala aktiviti seni suaminya itu.
ZAHID AF DAN SARAH JULIFA YUSOF
Kisah pertemuan juara rancangan realiti Akademi Fantasia musim kedua,
Zahid Baharuddin, 33, dan isterinya, Sarah Julifa Yusof, 25, ternyata
unik dan menarik.
Ini kerana mereka dikatakan berkenalan menerusi laman sosial Twitter
dan video pra perkahwinan mereka turut menceritakan bagaimana mereka
bertemu sehingga jatuh cinta di antara satu sama lain.
Zahid dan Sarah selamat dinikahkan di kampung halaman isterinya yang terletak di Teluk Intan pada 7 Jun lalu.
Pasangan sama cantik sama padan ini juga sempat ditunangkan beberapa minit sebelum majlis pernikahan berlangsung.
Antara sebab Zahid tertarik hati dengan Sarah ialah kerana dia
berjaya mendisplinkan Zahid menjadi insan yang lebih baik daripada
sebelumnya.
BEEGO DAN LINDA HASHIM
Perkahwinan pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim turut mendapat perhatian peminat dan media tempatan.
Beego atau nama sebenarnya, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 33, sah
bergelar suami kepada Norhazlinda Hashim, 29, hanya dengan sekali lafaz
dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Usaimah Bin Zain, Wangsa
Maju pada 7 Jun lalu.
Linda menerima RM300 sebagai mas kahwin dan RM35,000 sebagai wang hantaran.
Mereka mula menjalinkan hubungan cinta sejak dua tahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada 3 November 2012.
Beego sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Intan
Shahira Mohd Shahru pada 28 Disember 2007 dan bercerai pada 16 Mac 2009.
Majlis resepsi kedua-dua mempelai telah diadakan di Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang pada keesokan harinya.
Linda, pelakon kelahiran Perak itu kini disahkan hamil tiga bulan.
FOUZIAH GOUS DAN ZHAFRAN YUSOF
Perkahwinan pelakon cantik manis Fouziah Gous pastinya boleh digelar
sebagai Wedding of the Year apabila majlis pertunangannya sahaja pun
sudah cukup gah.
Fouziah selamat diijabkabulkan dengan usahawan, Zhafran Yusof pada 21
September lalu di Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam, tepat jam 8 malam.
Majlis resepsi kedua mempelai ini telah diadakan pada 29 September
bertempat di Hotel Marriot, Putrajaya sementara majlis sebelah lelaki
pula diadakan pada 5 Oktober lalu bertempat di kediaman keluarga Zhafran
di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Perkenalan pasangan ini dikatakan bermula sebagai rakan perniagaan
dan akhirnya Zhafran nekad melamar gadis pilihannya itu pada Mei lalu
dengan menggunakan cara romantik iaitu melamar Fouziah di atas udara
dengan menggunakan helikopter.
ADAM AF DAN FIZA ELITE
Ini satu lagi cerita perkahwinan artis kelahiran program realiti
Akademi Fantasia 2 iaitu Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman
yang secara tiba-tiba mengumumkan dia bakal mendirikan rumah tangga
dengan artis janda, Fiza Elite.
Cerita ini sememangnya mengejutkan semua pihak kerana sebelum ini tiada sebarang gosip pernah melanda kedua-duanya.
Tup-tup sudah mahu mendirikan rumah tangga.
Pada 26 September lalu, mereka selamat dinikahkan dengan sekali lafaz di pejabat Majlis Agama Islam Selangor (Jais), Shah Alam.
Pada majlis itu juga, Adam, 30, menyerahkan hantaran berupa sepersalinan barangan solat kepada isterinya itu.
Mereka dikatakan berkenalan pada Mac lalu, dan hanya berjumpa serta
bertemu janji sebanyak dua kali sebelum Adam meluahkan hasratnya mahu
memperisterikan Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul
Halim, 32.
Fiza sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli
perniagaan, Ahmad Farriq Zainul Abidin tetapi disahkan bercerai pada
November 2010.
Hasil perkahwinan terdahulu, Fiza dikurniakan dua cahaya mata perempuan comel iaitu Ferra Aryana, 5, dan Feeya Adyrra, 4.
AERIL ZAFREL DAN WAWA ZAINAL
Perkahwinan pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal pastinya yang paling mencetuskan kontroversi pada tahun ini.
Pelbagai cerita kurang jelas akhirnya terjawab apabila pasangan ini
tampil pada sidang media menjawab segala persoalan berhubung isu itu,
baru-baru ini.
Kisah berhubung kontroversi mereka menjadi perbualan apabila akhbar
sisipan mingguan Bipop berjaya membongkar perkahwinan Aeril dan Wawa
menerusi penyiasatan penuh ala-ala Crime Scene Investigation (CSI).
Pada sidang media itu, mereka tampil memberikan kenyataan mengakui sudah bernikah sebanyak dua kali.
Pertama kali, mereka bernikah pada 25 Februari tahun lalu tanpa menghebohkannya kepada pihak media.
Kemudiannya, buat kali kedua, mereka bernikah semula pada 4 Februari tahun ini tanpa diketahui apa sebab musababnya.
Pada ketika itu mereka hanya bernikah tanpa sebarang dokumen dan
hanya bernikah mengikut hukum syarak iaitu berwalikan bapa Wawa dan
dinikahkan oleh seorang imam yang di datangkan khas dari Sabah.
“Ya, saya dan Wawa sudah bernikah. Kami bernikah di Taman Datuk
Harun, Petaling Jaya. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini
sudah terjawab,” katanya memetik laporan mStar Online.
Sementara itu, menerusi portal Ohbulan, Aeril menjelaskan, “Kami
bernikah hanya untuk menghalalkan perhubungan dan pada masa itu Wawa
meminta izin daripada saya untuk tidak mendedahkan perkara tersebut
kepada pihak pengurusan”.
“Namun begitu, setelah Wawa memberitahu saya yang dia mengandung pada
bulan Januari 2013, kami mengambil keputusan untuk bernikah lagi sekali
dengan dia pada Februari 2013 di Masjid Datuk Harun dan pada waktu itu
kami mengikut undang-undang negara. Kami juga mengikuti kursus kahwin
dan daftarkan perkahwinan tersebut mengikut jalan yang betul. Kami nikah
kali kedua sebab saya nak anak saya lahir nanti dia ber-bin kan dengan
nama saya dan bukannya ber-bin kan Abdullah.
“Mungkin orang beranggapan kami terlanjur tapi dari sisi agama
sebenarnya anak itu memang sah di sisi agama dan Allah,” ulasnya lagi.
Hasil perkahwinan itu, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata
lelaki yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar yang telah dilahirkan
pada 24 Ogos lalu.
Sebelum ini, Aeril bermati-matian menafikan dirinya berkahwin dengan
Wawa dan kehilangan Wawa juga diragui oleh pihak syarikat pengurusannya,
MIG yang ditunjanginya oleh Mejar David Teo.
Wawa dikatakan menghilangkan diri daripada dunia hiburan pada April
lalu dan Aeril menyatakan ‘teman tapi mesranya’ itu sedang berubat
penyakit misteri di kampung halaman aktres itu yang terletak di Lahad
Datu, Sabah.
Mereka berdua dikatakan mula rapat selepas membintangi drama bersiri
Klik dan sekali lagi digandingkan bersama menerusi filem 99 Kali Rindu
terbitan MIG.
Nama anak mereka iaitu Ahmad Fakharuddin Attar juga tidak asing dalam
diri Aeril apabila nama itu merupakan nama wataknya menerusi filem
bergenre Islamik itu.
Sebelum ini, artis-artis di bawah syarikat pengurusan MIG dikatakan
tidak boleh bercinta kerana terikat dengan kontrak serta syarat yang
sudah termaktub dalam polisi syarikat tersebut.
No comments:
Post a Comment